Ahad, 27 Februari 2011

Seruan

TUNTUTAN SOLAT BERJEMAAH


Solat merupakan perhubungan rohaniah antara hamba dengan Allah Azzawajalla. Dengan ibadah solat manusia akan dapat berhubung dengan Allah SWT secara langsung, tanpa sebarang perantaraan untuk mengabdikan diri dengan rasa rendah diri terhadap Allah SWT. Justeru, solat merupakan Mi'raj hamba kepada Allah subhaanahu wata'ala untuk mempersembahkan seluruh solatnya, ibadahnya, hidupnya dan matinya hanya untuk Allah subhaanahu wata'ala sahaja.
Firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 162-163:
Maksudnya: "Katakanlah! Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu baginya dan itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang Islam yang terawal menyerahkan diri (kepada Allah)".
Solat berjemaah lima waktu bagi mazhab Syafie hukumnya fardhu Kifayah yang wajib ditunaikan setiap waktu pada setiap hari dan Afdhal di masjid atau di surau. Solat Jumaat pula wajib Aini seminggu sekali. Manakala solat dua hari raya sunat ditunaikan setahun sekali dan afdhal di padang atau di tempat lapang.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya,
"Ganjaran pahala sembahyang berjemaah itu melebihi dari sembahyang bersendirian dengan kelebihan dua puluh tujuh darjat".
Adalah menjadi suatu perkara yang malang bagi sebahagian umat Islam yang kurang mengambil berat untuk solat berjemaah atas alasan tidak wajib atau hanya fardhu Kifayah. Umat Islam sewajarnya memahami bahawa apapun aktiviti dan rutin kehidupan yang dilalui memerlukan hidayah dan keredhaan Allah, oleh itu umat Islam hendaklah memahami dan menyedari bahawa solat berjemaah di masjid dijanjikan nur hidayah Allah dan nur itulah yang akan menerangi mereka di hari kiamat nanti.
Sabda rasulullah s.a.w:
Maksudnya,
"Gembirakanlah orang-orang yang mahu datang berjalan ke masjid diwaktu gelap malam dengan nur cahaya terang benderang di hari kiamat nanti".
(riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)
Antara hikmah solat berjemaah di masjid adalah mampu untuk membentuk ukhwah dan saling bertukar fikiran secara rasional tanpa mengira latar belakang dan fahaman, kerana masing-masing menjaga adab ketika berada di rumah Allah.
Solat berjemaah mengajar umat Islam hidup bermasyarakat dengan disiplin dan peraturan yang murni dan luhur. Ini dapat digambarkan apabila azan berkumandang,
maka bilallah yang patut dipatuhi dan imam solat yang mesti diikuti, serta saf jemaah yang mesti diperhati, berdiri sama lurus, rukuk sama tunduk dan sujud sama merendah diri sebagai syiar dan lambang untuk sama-sama meletakkan kepatuhan dan ketaatan hanya kepada Allah dalam menjalani hidup berkeluarga, berjiran tetangga, bermasyarakat, bekerja dan bernegara.
Oleh itu, apabila masyarakat hidup dalam keadaan berdisiplin dan mematuhi peraturan-peraturan yang luhur, yang terhasil dari mengerjakan solat berjemaah maka terhakislah rasa sombong, dengki, riya' dan akan terjalin rasa saling memahami, hidup tenang, bersopan santun dan penuh kemesraan.
Sabda rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Dan tidaklah berkumpul satu kaum di satu rumah dari rumah-rumah Allah sambil membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya bersama di antara mereka kecuali turunlah ke atas mereka pertolongan, mereka dilimpahi rahmat, malaikat menaunginya dan Allah menyebut nama mereka dikalangan orang yang ada di sisinya. Sesiapa yang lambat amalnya maka tidak disegerakan dekatnya kepada Allah".
Sungguhpun begitu hebat kebaikan solat berjemaah namun sebahagian umat Islam pula tidak mengambil berat dengan azan yang dikumandangkan oleh bilal, biar sekuat mana pembesar suara sampai ke telinga, biar secantik mana masjid dibina, biar masjid berkarpet tebal dan berhawa dingin, namun jemaahnya hanya dalam lingkungan lima puluhan atau ratusan orang berbanding dengan jumlah penduduk taman ribuan orang, sedangkan masjid boleh menampung ribuan jemaah dengan kos pembinaan masjid jutaaan ringgit. Namun anak-anak kita, jiran tetangga kita, ahli masyarakat kita sebahagiannya masih liar dengan masjid, masih seronok berlonggok di simpang-simpang jalan, masih selesa di padang-padang permainan, masih enak menghirup kopi di kedai-kedai berhampiran, masih leka berurus niaga di pasar-pasar malam, masih leka denagn menggilapkan kereta, atau masih leka dengan gurauan anak dan cucu yang tercinta atau masih ternganga dengan siaran television, sekalipun masjid hanya dipisahkan dengan pagarnya sahaja.
Sebenarnya setiap orang dipertanggungjawabkan untuk mengajak, menyeru, menasihat orang Islam yang lain apabila berlaku keengkaran terhadap kepatuhan beragama atau tidak kisah dan tidak ambil peduli dengan seruan azan yang mengajak solat bersama, mengajak ke arah kemenangan bersama, kita bimbang mereka lebih jauh dari Allah. Apabila Allah jauh dari hati kita maka syaitanlah yang cepat menghampiri kita.
Rasulullah s.a.w bersabda:
Maksudnya:
"Tidak sewajarnyalah bila ada tiga orang dalam sebuah qariah atau sebuah kampung yang tidak mahu mendirikan solat berjemaah dalam kampong tersebut melainkan syaitanlah yang akan menguasai mereka, maka kamu hendaklah mendirikan solat berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu hanya akan memakan kambing yang duduk bersendirian".
(riwayat Abu Daud dan an-Nasa'i).
Melalui rumah Allah yang suci ini, marilah kita bersatu, memperkuatkan pertalian ukhwah untuk sama-sama membantu anak-anak kita, jiran tetangga, ahli masyarakat kampung dan taman supaya memujuk dan mengajak mereka untuk mengimarahkan masjid. Juga sama-sama solat berjemaah setiap waktu yang termampu oleh kita. Alangkah indahnya kita sama-sama berdiri satu saff di belakang imam dan bahagianya kita jika kita dapat menarik setiap orang teman sekampung, jiran setaman, sama-sama duduk berwirid, berzikir, berdoa dan bersalam-salaman setiap waktu, bertemu muka setiap hari dalam suasana yang penuh ketulusan dan keikhlasan kepada Allah subhaanahu wata'ala.
Firman Allah subhaanahu wata'ala dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan oleh Allah kepada mereka".
Maksud firman Allah subhaanahu wata'ala dalam surah Al-Baqarah, ayat 43 "Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat serta rukuklah (solat berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk".
Sekian.

Rabu, 20 Oktober 2010

Ibadah Qurban


PENGERTIAN QURBAN

Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada tenakan yang diketegorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahr atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

HUKUM MELAKUKAN IBADAH QURBAN

• Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini adalah sunat Muakhadah iaitu sunah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh lagi rasyid (cerdik) serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji atau pun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
• Makruh meninggalkan ibadah ini bagi orang yang mampu melakukannya.
• Hukum qurban ini menjadikan wajib jika seseorang itu telah bernazar untuk melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta'yin) untuk melaksanakannya seperti seseorang berkata "lembu ini aku jadikan qurban". Jika tidak dilakukan dalam keadaan ini maka hukumnya adalah haram.
• Daging qurban wajib tidak dibenarkan untuk dimakan oleh yang empunya qurban dan tanggungannya.

DALIL PENSYARIATAN IBADAH QURBAN

1. Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kautsar ayat 2 :
Maksudnya : "Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah qurban sebagai bersyukur".
2. Allah S.W.T.telah berfirman dalam Surah Al-Haj ayat 37 :
Maksudnya: "Daging dan darah binatang qurban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu".
3. Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:

Maksudnya : "Aku diperintahkan dengan menyembelih qurban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu". (Hadis riwayat Tirmidzi)

FADHILAT IBADAH QURBAN

Fadhilat yang diperolehi daripada ibadah qurban ini amat besar antaranya:
1. Menambah amal kebajikan. Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:
Maksudnya: "Qurban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan".
(Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
2. Sebagai penebus dosa Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Sayyidatina Fatimah:
Maksudnya: "Hai Fatimah,berdirilah di sisi qurbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu".

(Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)
3. Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah.
Sabda Rasullah Sallahahu 'Alaihi Wasallam:
Maksudnya: "Wahai manusia, sembelihlah qurban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah qurban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla."
(Hadis riwayat Thabrani)
4. Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda:
Maksudnya : "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Ta'ala daripada menumpahkan darah (menyembelih qurban). Bahawa qurban itu datang pada hari kiamat dengan tunduk-tunduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah qurban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat qurban itu dengan hati yang bersih."
(Hadith riwayat Tirmidzi)
5. Ancaman terhadap orang yang mampu melakukan qurban tetapi tidak melaksanakannya. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu katanya, sabda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam:
Maksudnya: "Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami".

HIKMAH BERQURBAN

1. Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibarahim Alaihissalam yang sangup menyahut perintah Allah Ta'ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail Alaihissalam.
2. Melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yan melimpah-ruah.
3. Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin.

KEPADA SIAPA IBADAH QURBAN DISUNATKAN

1. Menurut Mazhab Syafie, ibadah disunatkan kepada mereka yang mempunyai harta yang melebihi keperluan darinya dan tanggungannya pada Hari Raya Aidil Adha dan hari-hari Tasriq (11,12 dan 13 Zulhijjah) termasuklah orang yang sedang mengerjakan haji.
2. Manakala kanak-kanak tidak disunatkan melakukan ibadah qurban.

SYARAT SAH QURBAN

1. Haiwan yang hendak diqurbankan itu hendaklah dalam keadaan sempurna tanpa ada kecacatan yang nyata tanpa ada kecacatan yan nyata dan mengurangkan daging atau memudaratkan kesihatan.
2. Ianya dilakukan pada waktu yang dikhususkan untuk menjalankan ibadah qurban.
3. Ibadah qurban hendaklah disertakan dengan niat.

JENIS HAIWAN YANG BOLEH DIJADIKAN QURBAN

Ulama' bersepakat bahawa binatang yang boleh dijadikan qurban hanyalah binatang yang diketegorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), kambing dan biri-biri sama ada jantan atau betina.

UMUR BINATANG QURBAN


1. Unta - berumur 5 tahun masuk ke 6 tahun.
2. Lembu/kerbau/kambing - 2 tahun masuk ke 3 tahun.
3. Biri-biri/kibas - Setahun masuk kedua atau sudah bersalin gigi hadapan walaupun belum cukup setahun tetapi melebihi 6 bulan.

KECACATAN YANG MENGHALANG SAHNYA QURBAN

• Hendaklah ia sejahtera daripada sebarang kecacatan seperti tiada telinga atau terpotong ekor, gila, kudung, sangat kurus, buta dan sebagainya.
• Ada 4 kecacatan utama yang telah disepakati oleh Ulama' yang menghalang sahnya qurban iaitu berdasarkan hadis riwayat Barra' bin Azib iaitu sabda Rasullah Sallahallahu 'Alaihi Wasallam:

Maksudnya : "4 jenis kecacatan yang tidak harus diperbuat qurban iaitu buta sebelah mata, berpenyakit, tempang dan terlalu kurus".
• Daripada hadith di atas Ulama' telah mengqiaskan kepada kecacatan yang seumpamanya atau lebih teruk daripada kecacatan tersebut. Ia dapat diringkaskan seperti berikut:
1. Tiada atau terpotong telinga ataupun lidahnya walaupun sedikit begitu juga yang terpotong ekornya.
2. Gila
3. Berkudis walaupun sedikit.
4. Haiwan yang baru melahirkan anak atau yang bunting.
5. Tersangat kurus.
6. Buta sebelah mata atau kedua-duanya.
7. Berpenyakit
8. Tersangat tempang
• Tetapi, jika telah bernazar untuk qurban binatang yang sudah ada kecacatan tersebut, wajarlah dia melaksanakannya.
• Haiwan yang tiada ekor, tiada gigi atau patah setengah giginya, tiada zakar, haiwan yang dikasi zakarnya boleh dijadikan binatang qurban.
• Makruh mengorbankan haiwan yang tidak bertanduk atau patah tanduknya begitu juga haiwan yang terbelah atau bertebuk telinganya.

KEHARUSAN BERKONGSI HAIWAN QURBAN


• Seekor unta, lembu atau kerbau itu harus dikongsi oleh tujuh orang sama ada dari keluarga yang sama atau yang lain walaupun tidak semuanya bermaksud qurban, misalnya ada antaranya bermaksud aqiqah dan yang lainnya kerana mahukan dagingnya sahaja.
• Bagi seekor kambing atau biri-biri hanya cukup untuk seorang sahaja, tetapi harus berkongsi dengan orang lain dalam pahala berqurban dengan seekor qurban itu.
• Adalah afdhal dibuat qurban bagi seorang dengan seekor unta, kerana banyak dagingnya untuk dibahagikan kepada fakir. Kemudian lembu atau kerbau, kemudian biri-biri dan kemudian kambing.
• Berqurban dengan 7 ekor kambing itu lebih afdhal daripada seekor unta atau lembu kerana daging kambing lebih baik dan lebih banyak darah yang tumpah ketika disembelih.
• Berqurban dengan seekor kambing itu pula lebih afdhal daripada seekor lembu atau unta yang dikongsi oleh tujuh orang.
• Yang utamanya binatang qurban itu adalah berwarna putih, kemudian kuning, diikuti dengan warna putih tetapi tidak bersih putihnya, kemudian binatang yang sebahagian bulunya berwarna hitam, kemudian yang berwarna hitam semua bulunya, diikuti dengan binatang qurban yang berwarna merah bulunya.

WAKTU PELAKSANAAN IBADAH QURBAN

• Bermula daripada terbit matahari pada Hari Nahr (10 Zulhijjah)
• Waktu yang afdhal melakukannya ialah ketika matahari telah naik sekadar 7 kaki dari ufuk.
• Berkekalan waktu qurban ini sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah.

ORANG YANG MENYEMBELIH BINATANG QURBAN

• Para ualama menganjurkan agar yang melakukan penyembelihan afalah orang yang berqurban itu sendiri, sekiranya dia pandai menyembelih. Tetapi mereka juga sependapat mengatakan harus mewakilkannya kepada orang lain. Afdhalnya wakil itu adalah orang Islam yang mengetahui akan hukum-hakam mengenai qurban.
• Adalah afdhal orang yang tidak pandai menyembelih berwakil kepada orang lain untuk menyembelih bagi pihak dirinya dan sunat bagi orang yang berwakil itu hadir dan menyaksikan penyembelihan ke atas binatang qurban tersebut.
• Makruh hukumnya mewakilkan qurban kepada kanak-kanak atau orang buta.

NIAT IBADAH QURBAN

• Tidak memadai jika seseorang itu hanya membeli binatang dengan niat hendak diqurbankan tanpa dilafazkan niat itu.
• Disyaratkan berniat ketika menyembelih binatang qurban jika dilakukan sendiri. Adalah memadai jika orang yang berwakil itu berniat ketika wakilnya menyembelih qurban berkenaan dengan disaksikan oleh orang yang berwakil tadi.
• Walaubagaimanapun adalah lebih baik orang berwakil itu, ketika menyerahkan qurban, menyuruh wakilnya berniat bagi pihak dirinya ketika dia menyembelih qurban tersebut.
• Tidak disyaratkan niat jika melakukan qurban nazar.

HUKUM QURBAN BAGI PIHAK ORANG LAIN


1. Tidak sah menyembelih qurban bagi pihak orang lain yang hidup dengan tiada izinnya.
2. Begitu juga bagi pihak orang yang telah mati dengan tiada wasiat atau pesanan daripadanya.
3. Apabila qurban itu dilakukan kerana wasiat simati maka wajib disedekahkan kesemuanya.

PERKARA-PERKARA SUNAT KETIKA QURBAN

• Apabila menjelang 10 Zulhijjah, tidak digalakkan empunya qurban memotong rambut dan kukunya sehingga dia melaksanakan ibadah qurban.
• Semasa menyembelih binatang qurban disunatkan :
1. Membaca Bismillahirrohmanirrahim
2. Berselawat ke atas Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.
3. Menghadapkan binatang itu ke arah kiblat di atas rusuk kirinya.
4. Bertakbir sebelum membaca Bismilah dan selepasnya.
5. Membaca doa : Maksudnya: "Ini adalah nikmat daripada Mu dan aku mendekatkan diri kepadaMu dengannya."
• Sebaik-baiknya ibadah qurban ini dilaksanakan sendiri tetapi harus diwakilkan kepada orang lain.

HUKUM DAGING QURBAN

1. Qurban Wajib dan Qurban Nazar :

Bagi daging qurban kerana sembelihan wajib seperti nazar maka hukumnya Wajib disedekahkan kesemuanya. Haram ke atas orang yang berqurban itu memakan daging tersebut. Jika telah dimakan daging itu maka Wajib diganti kadar yang dimakan itu tetapi tidak wajib dia menyembelih semula yang lain.
2. Qurban Sunat :
Bagi daging qurban sunat pula, adalah Sunat bagi orang yang empunya qurban memakan sebahagian daripadanya sebagaimana firman Allah Ta'ala dalam Surah al-Haj ayat 28:
Maksudnya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan qurban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang qurban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.
Wajib disedekahkan sebahagian daripada daging-daging qurban sunat itu kepada golongan fakir dan miskin yang beragama Islam dalam keadaan mentah lagi basah (belum dimasak).
Adalah Afdhal jika yang empunya qurban itu hanya mengambil sedikit daripada daging qurban berkenaan manakala sebahagian besar daripadanya disedekahkan. Daging yang disedekahkan akan menjadi milik penerima sepenuhnya di mana dia boleh menjual, melelong atau menghadiahkan daging tersebut kepada orang lain dan sebagainya.
3. Jika daging qurban itu ialah qurban disebabkan wasiat dari seorang yang telah meninggal dunia, maka tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat qurban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.
4. Haram menyedekah atau menghadiahkan daging qurban kepada orang kafir walaupun sedikit.
5. Tidak harus memindahkan daging qurban ke daerah lain sebagaimana dalam hukum zakat.
6. Haram ke atas orang yang berqurban atau warisnya menjual daging qurban itu atau kulitnya atau bulunya atau sesuatu daripada binatang qurban itu sebagaimana sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam : Maksudnya:

"Siapa yang menjual kulit qurban (udhiyyah) itu maka tiada dikira qurban baginya." (Hadis riwayat al-Hakim)
7. Haram menjadikan kulit dan daging binatang qurban itu sebagai upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah atau hadiah.

Selasa, 19 Oktober 2010

Tafsir Al-Quran - Surah An-Nas

Bagi sahabat-sahabat yang tidak dapat mengikuti kuliah Maghrib oleh Ustaz Abdul Rahim Sahlan berkenaan Tafsir Al-Quran Surah An-Nas, di sinidisertakan kuliah dalam tajuk yang sama tetapi oleh Ustaz Zahazan bin Mohamed. Yang biasa kat TV tu... Semoga ada munafaatnya.

Sabtu, 16 Oktober 2010

Hadis 40 - Imam Nawawi (Hadis 03 dan 04)

Hadis 03 - Islam terbina atas 5 perkara


Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn 'Umar ibn al-Khatthab ( رضي الله عنهما ) beliau berkata: Akutelah mendengar Rasulullah SAW bersabda:lslam itu teribna atas lima perkara: Naik saksi mengaku bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkanAllah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu adalah Utusan Allah, Mendirikan sembahyang,mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitulLah dan menunaikan puasa pada bulan Ramadhan.Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim (Al-Imam al-Bukhari meriwayatkannya dalam Kitab (al-Iman) babباب الإیمان وقول النبي صلى الله عليه وسلم بني الإسلام على خمس)) ) hadis nombor 8. Al-Imam Muslim dalam bab ( باب بيانأرآان الإسلام ودعائمه العظام) hadis nombor 16).

Pokok Perbincangan Hadis :

1) Binaan Islam :Diibaratkan sebagai penyelamat manusia yang mengeluarkannya dari daerah kekufuran danmelayakkannya masuk syurga serta jauh dari neraka.
Struktur binaan yang kemas dan kukuh dengan asas-asas dan cabang-cabangnya.

2) Ikatan Antara Rukun-Rukun Islam :
Sempurna iman bagi yang menerima sepenuhnya.
Bagi yang menolak semuanya - hukumnya kafir
Sesiapa yang ingkar salah satu - bukan muslim (ijma)
Sesiapa yang menerima tapi malas melakukannya (kecuali syahadah) - fasiq
Sesiapa yang melakukan dan iqrar secara pura-pura - munafiq

3) Matlamat Ibadat :
Syahadah - syarat diterima amalan lain.
Solat - penghubung antara hamba dengan tuhannya - pertama dihisab .
Zakat - suburkan harta/ berkat - sucikan diri.
Haji - tidak harus bagi orang yang berkemampuan untuk itu melewatkan pemergiannya - wajib segerakan.
Haji Mabrur merupakan sebaik-baik jihad.
Puasa - syahwat dikengkang/ maksiat terhindar - sebab kepada ketinggian darjah di sisi Allah.

Pengajaran hadis:

Hadis ini juga menerangkan tentang rukun lslam lima perkara. Hadis ini mengumpamakan lslamsebagai sebuah binaan yang tertegak megah dengan lima batang tiang. Tanpa lima perkara ini lslamseseorang akan goyah dan runtuh. lni membayangkan betapa rukun-rukun ini mestilah ditegakkan olehsetiap muslim dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab. Menegakkan rukun lslam bermaknakesempurnaan, keteguhan, keutuhan dan keelokan binaan lslam sebaliknya kecuaian berertikeruntuhan, kehancuran dan kemusnahan lslam.


Hadis 04- Kejadian Manusia - Al-Qadr


Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telahbersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai):

Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadiseketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu diamenghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya,ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya,sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehinggajarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantasdia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang darikalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidaklebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahlisyurga lalu dia memasuki syurga.

Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim (Al-Imam al-Bukhari meriwayatkannya dalam (بدءالخلق (باب ذآر الملئكة) ) nombor 3036, dan dalam ( القدر ) dan dalam ( الأنبياء ) . Al-Imam Muslim meriwayatkannya di awalkitab ( القدر ) bab ( باب آيفية خلق الآدمي ) nombor 2643.).

Kefahaman Hadis :

1) Peringkat Pertumbuhan Janin Dalam Rahim :
Ayat-ayat yang berkaitan dengannya (Al-Haj : 5) (Al- Mu’minun :12-14)
Hikmat di sebalik kejadian berperingkat-peringkat : Sebagai pengajaran kepada manusia … untukmencapai tahap kesempurnaan ma’nawi mestilah melalui cara ((tadarruj)) beransur-ansur tidak gopohatau gelojoh.

2) Ditiup Ruh :
Sepakat ulama’ menyatakan bahawa ruh ditiup pada janin selepas 120 hari disenyawakan.
Hikmat bagi perempuan yang kematian suami, baginya iddah selama empat bulan sepuluh hari … bagi menjamin kesucian rahimnya(tak mengandung).

3) Menggugurkan Janin :
Sepakat ulama’ menyatakan haram (setelah ditiupkan ruh) - dikira sebagai jenayah dan wajib membayar diat (denda) bila digugurkan, sekalipun mati selepas itu.
Gugurkan sebelum ditiupkan ruh - juga haram pada kebanyakan pendapat. Ada yang kata boleh tapipendapat yang dhaif.

4) Keluasan Ilmu Allah

Maha mengetahui keadaan-keadaan makhluk sebelum dijadikan samada iman dan taat atau kufur danmaksiat, bahagia atau derita semua dalam pengetahuannya.Ilmu Allah tidak menghalang manusia dari berikhtiar (Al- Syams: 7-10).

Pengajaran hadis:

Kejadian manusia yang unik menunjukkan kekuasaan Allah SWT mencipta makhlukNya, seterusnyamenjadi dalil bahawa hanya Dialah Tuhan yang berhak disembah. Kejadian manusia mesti menjadirenungan manusia yang berakal, kerana kejadiannya yang teramat indah dan unik ini tiada tolokbandingnya - manusia tidak mampu mencipta manusia atau robot bernyawa dan berakal fikiran.

Proses kejadian manusia yang berperingkat-peringkat ini telah diceritakan oleh lslam melalui al-Qur'andan hadis Nabi semenjak 14 kurun lampau, tetapi manusia baru benar-benar arif tentang proses ini dizaman kemajuan sains. lni adalah bukti yang jelas bahawa Allah SWT yang mencipta makhluk ini, Diajugalah yang Maha mengetahui rahsia kejadian mereka.

Empat ketentuan hidup manusia telah ditetapkan oleh Allah SWT semenjak dia belum lahir ke bumi -rezekinya, ajal kematiannya, amalannya dan nasibnya sama ada dia akan menjadi seorang yang susahatau senang.

Amalan terakhir manusia adalah faktor penentu kepada nasibnya yang kekal abadi di akhirat. Bolehjadi dia sangat baik si sepanjang hayat, tetapi di saat terakhir dia melakukan perbuatan ahli neraka,iaitu maksiat lalu dia mati dan mendapat balasan neraka. Begitulah sebaliknya.

Khamis, 14 Oktober 2010

Program Taman-Taman Syurga - Jadual bagi bulan Oktober

Tujuan Menuntut Ilmu

1. Memperbaiki Diri

Firman Allah dalam Surah Al-'Ankabuut, ayat 69,


"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." -

Antara tujuan utama kita dalam menuntut ilmu adalah agar dapat memperbaiki diri.
Memperbaiki diri bermaksud berusaha bersungguh-sungguh untuk menambah ilmu pengetahuan serta membawa ibadah dan juga taraf kehidupan ke tempat yang lebih tinggi dari sebelumnya.
Dengan menuntut ilmu kita secara tidak langsung bukan sahaja mendapat petunjuk, malah dipimpin ke jalan yang lurus. InsyaAllah yang Maha Tinggi.
Contohnya, dengan menuntut ilmu kita dapat;
1. Mendapat keyakinan yang lebih dalam ibadah.
2. Solat terasa lebih khusyuk dari sebelumnya.
3. Peningkatan kerjaya.
Pelbagai lagi nikmat yang akan kita perolehi dalam usaha memperbaiki diri, malah tidak terhitung dan cukuplah tiga contoh di atas. Sekiranya kita memahami ayat di atas (Surah Al-'Ankabuut, ayat 69) nikmat terbesar adalah mendapat pertolongan dan bantuan Allah yang Maha Agung. Pertolongan dan bantuan siapakah yang lebih besar dari itu?

Akan bersambung ......


Jadual Program Taman Syurga (Oktober)

Tarikh : 2 Oktober 2010
Hari : Sabtu
Waktu : Selepas Solat Subuh
Aktiviti : Tazkirah Subuh oleh Ustaz Musa Sarbini

Tarikh : 3 Oktober 2010
Hari : Ahad
Waktu : Selepas Solat Subuh
Aktiviti: Kuliah Subuh oleh Ustaz Shaharuddin Abdul Mubin

Tarikh : 9 Oktober 2010
Hari : Sabtu
Waktu : Selepas Solat Subuh
Aktiviti : Tazkirah Subuh oleh Ustaz Musa Sarbini

Tarikh : 10 Oktober 2010
Hari : Ahad
Waktu : Selepas Solat Subuh
Aktiviti: Kuliah Subuh oleh Ustaz Shaharuddin Abdul Mubin

Tarikh : 12 Oktober 2010
Hari : Selasa
Waktu : Selepas Solat Maghrib
Aktiviti : Kuliah Maghrib oleh Ustaz Zaharin Taha

Tarikh : 16 Oktober 2010
Hari : Sabtu
Waktu : Selepas Solat Subuh
Aktiviti : Tazkirah Subuh oleh Ustaz Musa Sarbini

Tarikh : 17 Oktober 2010
Hari : Ahad
Waktu : Selepas Solat Subuh
Aktiviti: Kuliah Subuh oleh Ustaz Shaharuddin Abdul Mubin

Tarikh : 20 Oktober 2010
Hari :Rabu
Waktu : Selepas Solat Maghrib
Aktiviti: Kuliah Maghrib oleh Ustaz Hawari Abd Latif

Tarikh : 23 Oktober 2010
Hari : Sabtu
Waktu : Selepas Solat Subuh
Aktiviti : Tazkirah Subuh oleh Ustaz Musa Sarbini

Tarikh : 24 Oktober 2010
Hari : Ahad
Waktu : Selepas Solat Subuh
Aktiviti: Kuliah Subuh oleh Ustaz Shaharuddin Abdul Mubin

Tarikh : 26 Oktober 2010
Hari : Selasa
Waktu : Selepas Solat Maghrib
Aktiviti : Kuliah Maghrib oleh Ustaz Zaharin Taha

Tarikh : 30 Oktober 2010
Hari : Sabtu
Waktu : Selepas Solat Subuh
Aktiviti : Tazkirah Subuh oleh Ustaz Musa Sarbini

Tarikh : 31 Oktober 2010
Hari : Ahad
Waktu : Selepas Solat Subuh
Aktiviti: Kuliah Subuh oleh Ustaz Shaharuddin Abdul Mubin

Bersama-sama kita mendapatkan manafaat dari program ini.

Sabtu, 25 September 2010

Program Ziarah Dan Marhaban Syawal 1431

Klip Video yang lain boleh dilihat di http://www.facebook.com/pages/Masjid-Jamek-Al-Ala-Bandar-Mas/111736238870409

Program Ziarah Dan Marhaban Syawal 1431


Lebih banyak gambar bolah dilihat di http://www.facebook.com/pages/Masjid-Jamek-Al-Ala-Bandar-Mas/111736238870409