Sidang Jumaat yang dimuliakan, marilah kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah iaitu dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala laranganNya. Sesungguhnya orang yang bertakwa dijamin berada didalam kemengangan baik di dunia mahu pun di akhirat.
Rukun iman yang kelima ialah beriman pada hari akhirat yang meliputi dan bermula dari alam barzah (soal jawab di dalam kubur), nikmat dan azab dalam kubur, dibangkitkan semula pada hari kiamat, perhimpunan di padang mahsyar, syafaat para rasul khususnya nabi Muhammad SAW serta syurga dan neraka. Firman Allah SWT dalam Al-Qur’an, surah Al-Haj, ayat 7:
Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan orang-orang yang di dalam kubur.
Sidang Jumaat yang dimuliakan, hari kiamat membawa maksud hari kebangkitan. Ia merupakan nama bagi masa berlaku segala kejadianhuru-hara yang bermula dengan tiupan sangkakala pertama dimana seluruh alam akan binasa dan diakhiri dengan tiupan sangkakala yang kedua oleh malaikat Israfil. Firman Allah SWT, Surah Yassin, ayat 51:
Maksudnya: Dan dituplah sangkakala, maka mereka keluar dengan segera dari kuburnya (menuju) kepada tuhan mereka.
Manusia akan dibangkitkan semula daripada kubur atau alam barzah dan akhirnya dimasukkan ke syurga atau neraka untuk menerima balasan perbuatan baik atau jahat yang dilakukan semasa hidup di dunia.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, seabagai seorang islam kita wajib percaya kepada hari kebangkitan. Terdapat banyak sekali gambaran-gambaran di dalam Al-Qur’an Al-karim dan hadis tentang peristiwa dan kedahsyatan suasana apabila terjadinya hari kiamat itu. Firman Allah SWT, surah Al-Haj, ayat 1 dan 2:
Maksudnya: Wahai umat manusia bertakwalah kepada tuhanmu, sesungguhnya gempa hari kiamat itu satu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat peristiwa-peristiwa yang mengerikan itu setiap ibu akan melupakan anak yang disusukan, dan setiap perempuan yang mengandung akan keguguran anak yang di kandungnya, dan engkau akan melihat manusia mabuk padahal mereka itu tidak mabuk tetapi azab Allah amat mengrikan.
Sidang Jumaat yang dimuliakan, digambarkan juga kepada kita susulan huru-hara yang menyelubungi manusia pada hari kebangkitan yang masing-masing sibuk dengan hal masing-masing ada yang berjalan dalam keadaan tonggang terbalik dengan kepala di bawah kaki di atas, ada yang merangkak dan bermacam-macam lagi dalam keadaan kepanasan dan kehausan. Ada manusia pada masa itu ditengelami peluh dan berbau busuk, ini semua bergantung kepada kesan amalan mereka masing semasa di dunia.
Maksudnya: Dihimpunkan manusia pada hari kiamat ditanah luas seperti hamparan putih dan tiada pula padanya suatu tanda pun untuk diketahui sempadan kawasan itu. Firman Allah SWT:Surah Al-Zalzalah ayat 6:
Maksudnya: Pada hari itu manusia akan keluar berselirak dari kuburnya, dilihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Keyakinan yang tinggi kepada hari kebangkitan (hari kiamat) akan memberi kesan yang sangat mendalam kedalam jiwa setiap orang islam. Dalam usaha mencapai matlamat kehidupan iaitu mendapat kebahagiaan dan kecemerlangan dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.
meyakini bahawi kita akan dibangkitkan semula untuk dibicarakan dan meyakini bahawa segala tindak tanduk kita di dunia ini sentiasa diperhatikan Allah dan akan diberi balasan sewajarnya.. maka sedarlah kita hendaklah kita sentiasa berusaha mempertingkatkan iman kepada Allah yang merangkumi seluruh kehidupan. Hendaklah sentiasa berhati-hati dalam segala keadaan perilaku kita sama ada cara berfikir, cara bertindak, cara bergaul dan sebagainya.
Berdasarkan kepada keyakinan ini, marilah kita warnakan seluruh kegiatan hidup kita dengan cara hidup yang diredhai Allah sebagai persiapan kita menuju akhirat.
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dengan mengerjakan suruhaNya dan meninggalkan larangannya dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikah apa yang ia telah sediakan dari amal-amalnya untuk hari akhirat, dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.