Penghayatan Budaya Iqra’ Asas Kecemerlangan Ummat
Marilah kita berusaha mencapai tingkat kedudukan orang-orang muttaqin dengan melaksanakan segala perkara yang diperintahkan oleh Allah dan rasulNya, serta menjauhkan diri daripada segala perkara yang ditegahnya. Mudah-mudahan kehidupan kita akan sentiasa dirahmati lagi diberkati oleh allah di dunia dan akhirat.
Sidang jumaat sekelian.
Ilmu pengetahuan adalah anugerah Allah S.W.T yang amat besar faedahnya kepada manusia. Ia merupakan cahaya yang menerangi kegelapan hidup. Tanpa ilmu hidup manusia akan dibelenggu oleh kejahilan dan kelemahan. Justeru untuk membebaskan manusia daripada belenggu kejahilan dan kelemahan. Rasulullah S.A.W telah menegaskan kewajipan mencari ilmu pengetahuan kepada kita semua sebagaimana sabda baginda yang bermaksud: “menuntut ilmu itu difardhukan ke atas setiap muslim”
Penegasan yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W berhubung kewajipan menuntut ilmu sudah cukup untuk menjelaskan betapa perlunya kita berusaha mencari ilmu pengetahuan. Sikap tidak mengambil berat atau tidak mengutamakan ilmu ternyata amat tidak selari dengan kehendak ajaran agama islam.
Sidang jumaat sekelian.
Kita perlu menyedari bahawa kesejahteraan hidup di dunia ini mahupun di akhirat kelak tidak akan tercapai tanpa ilmu pengetahuan. Penguasaan terhadap segala jenis ilmu pengetahuan sama ada yang merangkumi ilmu-ilmu fardhu ain atau fardhu kifayah merupakan pra syarat penting bagi mencapai kejayaan hidup. Berdasarkan kepada pembahagian jenis-jenis ilmu menurut ulama’, ilmu fardhu ain mencakupi ilmu-ilmu yang menyentuh tanggungjawab muslim secara individu, manakala ilmu fardhu kifayah pula mencakupi ilmu-ilmu yang menyentuh tanggungjawab muslim secara kolektif sebagai anggota masyarakat. Kedua-dua bidang ilmu tersebut adalah wajib dikuasai oleh setiap muslim bagi mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Allah S.W.T berfirman di dalam surah Al-Mujadalah ayat 11.
Maksudnya: “Allah mengangkat kedudukan orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat dan ingatlah Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan”
Sidang jumaat sekalian,
Ilmu pengetahuan sentiasa berkembang dan terus berkembang lebih-lebih lagi ilmu-ilmu yang berkaitan dengan fardhu kifayah. Ini kerana kehidupan manusia yang sentiasa berubah dan berkembang maju menyebabkan timbul berbagai masalah baru yang belum wujud sebelumnya. Justeru kerana itulah, setiap muslim dituntut agar berusaha mempertingkatkan ilmu pengetahuan serta mengemaskini maklumat-maklumat untuk keperluan hidup mereka. Dengan adunan pengetahuan mengenai ilmu asas dan maklumat yang baru, maka akan terhasillah kebijaksanaan dalam diri. Ini tidak dapat dicapai melainkan dengan adanya penghayatan budaya iqra’, budaya membaca dalam diri setiap orang islam. Firman allah s.w.t dalam surah al-alaq ayat 1 - 5:
Maksudnya: “bacalah dengan menyebut nama tuhanmu yang menciptakan, dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan tuhanmu yang maha pemurah, yang mengajar manusia dengan perantraan qalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahui”
Budaya iqra’ bukanlah sesuatu yang baru dalam kehidupan masyarakat islam bahkan ia sebenarnya telah diketahui dan dihayati sejak dari mula al-quran diturunkan. Ia merupakan antara qaedah dan cara untuk umat islam mempertingkatkan ilmu pengetahuan serta mengemaskinikan maklumat yang diperlukan. Inilah jambatan yang menghubungkan umat islam dengan kemajuan yang dicapai oleh bangsa-bangsa yang lain.
Sidang jumaat sekelian,
Dalam usaha merealisasikan budaya iqra’ dalam masyarakat, sewajarilah kita memberikan perhatian kepada perkara berikut antaranya:
1. Mendidik anak-anak sejak dari usia kecil mereka dengan tabiat suka membaca. Ini dapat dilakukan dengan caramembeli bahan bacaan yang bersesuaian dengan peringkat umur mereka, mengajak anak-anak berkungjung ke perpustakaan pada waktu-waktu tertentu atau mengadakan perpustakaan kecil di rumah bagi menentukan hala tuju anak-anak agar mereka menjadi anak-anak yang terbaik, tidak mendurhakai keud ibu bapa serta mengamalkan budaya akhlak yang mulia.
2. Melatih diri supaya mengamalkan tabiat membaca secara berterusan seumpama memperuntukkan tempoh masa tertentu untuk membaca pada setiap hari atau memilih buku-buku tettentu untuk dibaca dalam tempoh yang ditetapkan dan sebagainya bagi melahirkan masyarakat yang bermaklumat, berwawasan dan berinovatif.
3. Mengutamakan bahan-bahan bacaan yang bersifat ilmiah dan yang tidak keterlaluan. Ini penting untuk maksud memperkayakan pengetahuan dan dapat mengelakkan masa kita terbuang secara tidak berfaedah.
4. Membanyakkan bahan bacaan dalam berbagai bahasa kerana ia dapat membantu kita untuk mendapat lebih maklumat terutamanya mengenai sesuatu perkara yang hanya diterbitkan dalam bahasa tertentu sahaja.
Selain daripada itu kita juga boleh menghidupkan budaya iqra’ melalui penganjuran berbagai majlis ilmu seumpama diskusi, pameran buku, ceramah, forum, seminar dan sebagainya. Sesungguhnya untuk melahirkan masyarakat berilmu penghayatan budaya iqra’ mestilah didokong oleh segenap lapisan umat islam dinegara ini. Sebagai umat islam kita amat bertanggungjawab untuk menebus maruah umat islam yang sekian lama dilabelkan sebagai umat yang mundur dan ketinggalan disebabkan kegagalan kita menguasai ilmu pengetahuan secara menyeluruh. Ingatlah bahawa dengan adanya perubahan sikap ke arah mengutamakan budaya iqra’, maruah umat islam akan terbela, bangsa kita akan terus maju, masyarakat akan terus membangun, anak-anak akan terus cemerlang, negara akan terus gemilang serta kita akan mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.